'Thinker'-Bell

"Definisi kejayaan itu bukan kaya dan berharta-benda," kata lelaki yang menyapa lalu duduk berkongsi meja dengan aku.

"Tak dapat dinafikan, dengan duit, kau dapat kuasai angan-angan, dan selesaikan banyak masalah," sambungnya, "tapi ramai orang Islam kita yang tersihir dengan harta!"

Aku dengar dan cuba hadam setiap butir kata-katanya. Aku fikir, dalam situasi sekarang, ada-nya teman yang boleh membuka leraian-leraian kusut hati adalah sesuatu yang melapang-kan.

Lagi pula, dia kelihatan lebih tua.

"Harta adalah pinjaman. Pinjaman adalah amanah. Dan amanah mesti dipulangkan!"

Aku diam dan mengangguk. Untuk seketika, aku berasa seperti bahu aku terbebas dari sebuah pasungan -- kerana aku tak punyai apa-apa harta dan posesi untuk dicagar-kan mahupun dipertanggungjawab-kan.

Untuk seketika lain-nya pula, aku berasa aku sedang merasai pahit dan terhina kerana rebah dalam sebuah perjuangan.

Lelaki ini, entah apa namanya, rancak dan betah berbicara. Raut wajahnya tenang, dan dia kerap bertanya mengapa aku seperti sedang dilanda resah dan gelisah, walaupun aku tidak menunjukkan.

Tersenyum, aku menidakkan tembakan dia. Terfikir juga, teruk sangatkah keadaan air muka aku?

Menghidup-kan sebatang nikotin, aku hembus asapnya ke langit. Suasana di sini agak sunyi, pengunjung-pengunjung kedai mamak ini telah beransur-ansur hilang.

"Perkara terbesar yang telah tiada di kalangan kita adalah, akhlak dan kasih-sayang."

Aku tak banyak membantah. Sekadar mencelah dengan anggukan, gelengan, isyarat mata, serta bunyi-bunyi satu hingga dua not yang panjang, aku biarkan lelaki ini menguasai suasana.

Lelaki ini beritahu aku sesuatu yang benar. Katanya, kemuliaan dan ketinggian manusia tidak lagi diukur dengan kezuhudan, ketakwaan, atau pemencilan diri terhadap keduniaan.

Ia kini di-ukur dengan seberapa banyak harta dunia yang wujud di dalam saku-nya. Dan seberapa pintar dia mengeksploit dunia untuk dunia.

"Kenderaan melebihi kegunaan, tempat tinggal melebihi keperluan, wang melebihi perbelanjaan, sedang ada ahli keluarga, sanak-saudara, bukan yang jauh-jauh, yang masih bertungkus-lumus dalam kesengsaraan."

"Hanya untuk terus menyambung hidup."

"Ini-lah realiti masakini. Hubungan kekeluargaan jadi asing. Kebanyakkan mereka lebih melebih-kan orang lain daripada ahli famili."

"Mereka semua, pasti dan pasti, akan di-adili dan di-tanya dengan keras."

Lelaki ini seperti masih bertenaga meneruskan kata. Celaka-lah, katanya, ke atas orang yang sendawa kekenyangan sedang ada kerabat keluarganya berlapar dan mengikat perut. Dia ada membacakan sepotong hadis nabi tentang hal ini yang mana aku tidak dapat menangkapnya dengan tepat.

"Tuhan Maha Penyayang. Maha Mengetahui. Maha Bijaksana!"

Setelah hampir satu jam, aku tersedar, dia tidak banyak bercakap mengenai diri sendiri. Dia lebih banyak bercerita tentang agama.

Dan dalam tempoh itu juga, aku acapkali mengurut-urut janggut -- menahan diri daripada mempamer ketidakselesaan kerana masa kesendirian aku dicerobohi lebih daripada kesanggupan aku.

Tuhan, jika dia ada-lah sebentuk utusan-Mu, tunjukkan-lah aku jalan keluar dari semua kehuru-haraan ini, atau sekurang-kurangnya, damaikanlah ribut di dalam sangkar rusukku.

Jika dia.

I don't know how to explain this. And I don't know how it happened.

Tulisan-tulisan aku di dalam simpanan memori komputer aku telah hilang. Semuanya, dan aku tiada walau satu salinan!

&%$#@?!