''Sistem demokrasi ini mengizinkan publik yang tolol menjadi hakim. Penghujahan dan perincian perundangan bukan dipasak atas nilai teologi lagi bahkan mengangkat keunggulan pemikiran manusia semata!''

''Kristian, Islam, Buddha, Hindu, serta keseluruhan agama-agama di dalam dunia mempertanggungjawabkan penganutnya menyerah kepada ajaran dan peraturan Sang Pencipta. Berbeza dalam syariat, namun paksinya masih satu --- menjunjung perlaksanaan hukum Tuhan!''

''Hampir semua agama dirosaklebur oleh satu ajaran agama baru yang dibiaksubur oleh sistem demokrasi. Agama ini menilai hidup manusia di atas perlakuan narsistik dan nilai individualistik yang tiada limitasi. Kepercayaan bahawa kebebasan mutlak adalah terpaling unggul dan setiap kehendak seorang manusia seharusnya terlepas dan tidak dibelenggu oleh kehendak sosial, moral masyarakat, dan suruhan Tuhan.''

''Ini-lah nilai agama di dalam demokrasi yang telah menjadi wajib untuk disemai ke dalam setiap negara demokratik. Tidak keterlaluan jika di-sebut bahawa, demokrasi adalah kemuncak teratas atheisme.''

''Tidakkah kau pernah terfikir mengapa hampir seluruh dunia dipaksa akur menjadi demokrasi dan diukur dengan demokrasi?''

''Siapa-kah yang sebenarnya mempromosi demokrasi dan mahukan ia di-sebar?''

''Atau, bersedia sahaja dizalimi sepertimana Cuba dan Korea Utara!''

Farid menjentik puntung rokok ke tanah. Air teh tarik dihirup lahap. Fikirannya gelap dan kelam. Pencerahan ini memabukkan.

Topik Ramly lepas moreh kali ini berat. Silap Farid juga, terlepas soalan yang bukan-bukan. Sepatutnya dia mengajak Ramly bercerita perihal persiapan menyambut Aidilfitri yang tinggal satu minggu lagi.

Ataupun bercerita tentang imam yang terlupa rakaat ketika tarawih tadi.

Ataupun sendawa makmum yang hapak berbau basi durian.

Ini tidak, diusiknya Ramly dengan bab-bab yang panas dan mengusik emosi.

Pasir yang berada di bawah tapak kaki seakan menghisap tubuh Farid. Punggungnya terasa lekat di kerusi.

''Maksud kau, sistem demokrasi bukan yang terbaik?!'' soal Farid setelah berhempas-pulas memikir reaksi. Dia juga mahu terlihat bijaksana.

''Kau faham kenapa aku tak keluar mengundi kan?'' tanya Ramly kembali, memulang persoalan Farid dengan pertanyaan.

''Sistem ini sesat. Perlembagaan Negara dengan jelas mengatakan bahawa ia adalah undang-undang yang tertinggi, supreme. Di mana syariah dan hukum Islam? Bukankah ini terang-terang menyekutukan Allah jika kau berlapang hati merestui ada undang-undang yang lebih berkuasa selain undang-undang Allah?''

''Sistem ini adalah satu skim penyelewengan akidah yang dahsyat. Ia dibina sedemikian licik dan sangat halus untuk meruntuh dan membunuh iktikad kepada Tuhan. Ia, secara perdaya, menghumban agungnya Tuhan ke tempat yang rendah!''

''Kesannya adalah, syirik. Dosa yang paling besar dan tak terampun!''

''Jika aku turut serta mengundi, ia seolah-olah menjadi syahadah aku dalam mengisytiharkan keredhaan ke atas sistem ini dan menjerumuskan aku ke dalam kemurkaan Tuhan tanpa aku sedar!''

Farid telan liur. Dia tidak berani membuka mulut. Bicara Ramly terlalu kuat mengesan hatinya.

Ada debar yang menggegar di dalam rusuk buat Farid tidak senang duduk. Dia menggantung sebatang nikotin lagi di jurai bibir, dan terus menyalakannya.

''Kita semua syirik ke?'' soal Farid selepas gementarnya sedikit reda.

Ramly tersengih tawar. Mengia tidak, menidak pun tidak.

Dari riak Ramly yang suram, Farid tahu benar yang dia akan menadah telinga untuk satu kisah perjalanan sejarah yang panjang.