It was a hot, humid night.

The fan spun at full blast. But it didn't help much.

I could not close my eyes. Every time I tried to sleep, I felt like it was the best time to stay awake.

I sweated. My heart beat faster than any other nights. My mind prowled around -- there were a lot of things trying to take control.

I couldn't figure out what the universe was telling me about.

I leaned against the wall. The picture of my late father slipped into my mind.

I looked at the big digital clock. It was 2.32 am.

**

"Don't get confused with my personality, and my attitude."

"My personality is who I am."

"My attitude towards you depends on who you are."

"And how you had made me feel."

**

I can't write.

Satira

Ia satu malam yang panas dan merengsa. Badan Zali belengas dengan keringat dan memancar aroma maskulin yang tajam menyengat. Beberapa kali Zali mengeluh dan mencerca hari.

Rita, isteri Zali juga begitu. Dia tidak pula terganggu dengan bau tubuh Zali, bahkan amarah dia sama naik. Entah angkara musibat dosa si puaka mana yang sialkan dunia, rungutnya.

Pendingin hawa yang dipasang seakan hanya terbitkan desir yang hingar. Kipas yang berputar seperti memusar haba yang membakar. Zali dan Rita berasa seolah-olah sedang disalai di dalam sebuah ketuhar.

Dengan mulut yang tidak serik dengan carutan, Zali bangkit menuju ke tingkap. Daunnya ditolak kasar dan dibuka seseluasnya -- dengan harap ada bayu salju akan datang mengulit tubuhnya. Dia mengertap gigi dan matanya meliar berapi -- menyembunyikan dendam kepada entah siapa.

Rita juga bingkas ke bilik mandi. Dia terkumat-kamit melontar makian.
Tombol dipulas sekuatnya semacam melampias kebencian yang maha dahsyat. Dengan rambut yang tidak terurus dan mengerbang, dia seperti kerasukan.

"Jahanam! Jahanam! Jahanam!!"

Zali menghamun lagi.

"Celaka! Celaka! Celaka!!"

Rita mencaci lagi.

Ia benar-benar satu malam yang panas dan merengsa. Hanya ada bunyi pungguk sayup-sayup, barangkali keletihan menagih rindu sang rembulan.

**

Pagi itu, seluruh kampung terkejut dan terpinga-pinga. Semua berpusu-pusu menghala ke kediaman Ketua Kampung, setelah lolongan ketakutan Neng Imah, orang gaji Zali dan Rita, bergema ke pelusok kampung merayu bantuan.

Semua berasak-asak mahukan jawapan dan kepastian. Semua berkejar-kejaran sesama sendiri mahu jadi yang pertama sampai. Semua bergasak-gasak mahu jadi nombor satu yang tahu, mahu jadi nombor satu yang sibuk, dan masing-masing mahu menonjolkan yang dia tidak ketinggalan.

Rumah tak hangus, tercuit api pun tidak, bagaimana mungkin Zali dan Rita rentung di atas kamar beradu, berpelukkan pula? Apa ada ilmu salah yang mereka amal? Si syaitan yang tiada perikemanusiaan mana yang telah membuat onar? Bala dari Tuhan apa yang sedang dan bakal mereka tanggung?

Ketua Kampung jadi gamam dan tidak keruan. Dia tiada jawapan. Dia tiada kesimpulan. Dia tidak faham. Kalau fasal rungutan harga barang keperluan naik, fasal GST, fasal Syiah, fasal rasionalisasi subsidi, fasal anasir subversif Kristianisasi, fasal demonstrasi terpimpin, fasal krisis 1MDB, boleh juga dia terang sedikit sebanyak lantaran dia juga baru pulang dari seminar pencerahan anjuran pemerintah. Ini tidak. Dia benar-benar bingung, hairan, bimbang dan terselit juga sedikit kekaguman dan takjub dengan apa yang berlaku. Ratusan orang di hadapan rumahnya seperti hari ini adalah satu pemandangan yang asing -- hampir tidak pernah berlaku sepanjang menyandang karier sebagai ketua kampung lebih empat dekad.

"Aku kena tenangkan mereka! Aku kena tenteramkan mereka!" bisik Ketua Kampung kepada dirinya, sedang yang sebetulnya, dia sendiri berada di dalam emosi yang huru-hara. Tambahan lagi, dia belum sempat menjamah sarapan.

"Ini satu malapetaka! Ini satu petanda!" bisik hati Ketua Kampung lagi. Tangan kirinya cuba menyorok tangan kanannya yang menggeletar kuat. Dia berdiri di tengah-tengah kepungan penduduk kampung, mengamati setiap wajah yang sama-sama terdiam sabar menanti arahan, kata putus, dan tindak balas. Ada yang teresak-esak, ada yang menggigil, ada yang buat-buat berbisik, ada yang tertunduk dungu, ada yang berdiri memeluk tubuh dengan muka angkuh, ada yang berselindung di sebalik orang ramai kerana khuatir dicurigai dan disedari, ada yang menongkat dagu dan berkerut seribu, dan ada yang bersikap dingin, menepuk-nepuk bahu serta belakang penduduk lain yang keliru. Ada yang sedang mencangkung, seperti melukis-lukis sesuatu di atas sepanduk.

Ada juga beberapa yang ralit melintas-lintas jari di atas telefon.

"Panggil Neng Imah!" teriak Ketua Kampung, tiba-tiba.

Penduduk kampung akhirnya melepas nafas lega dan mengangkat muka bercahaya. Nampak gaya, Ketua Kampung sudah punya ilham dan akal tentang punca dan siapa punya angkara. Jika tidak, pastinya Tok Ketua hanya mundar-mandir ke hulu ke hilir macam Siti Hajar mencari air. Tidak sia-sialah mereka menunggu dan berkumpul berhimpit-himpit sejak pagi, fikir mereka. Buah fikir Tok Ketua pasti bernas. Bukankah Tok Ketua ada ijazah dalam pengajian ilmu bahasa?

Nun berselang satu balingan batu, ketika semua orang kelihatan kelam-kabut cuba mentafsir kejadian, kedua-dua jasad Zali dan Rita masih belum ada tanda-tanda akan berhenti mengeluar asap hitam dan bau tengik.

**

Neng Imah masih pucat-lesi. Mulut dia berbuih-buih seperti air sabun semasa diseret menghadap. Mata dia melilau ke sana-sini. Semua soalan Ketua Kampung tidak berjawab. Hanya bebelan bahasa yang aneh terbit dari kerongkong Neng Imah. Sekejap-sekejap dia menjerit nyaring. Sekejap-sekejap dia merintih-rintih sedih. Sekejap-sekejap tubuh dia menggelepur dan kejang. Macam kena sawan babi, cuma tolak kancing gigi.

Penduduk kampung semakin resah-gelisah. Zali dan Rita ini bukan calang-calang orang. Mereka orang ada nama. Mereka orang punya harta. Mereka orang terkenal. Kampung-kampung seberang juga tahu siapa mereka. Mereka murah hati dan jarang benar berlaku sombong atau kurang menyenangkan. Minggu sudah, mereka baru sahaja sedekah beras berguni-guni untuk diagih-agih kepada mangsa banjir yang terlepas bantuan kerana berbeza fahaman politik. Kalau ada kenduri-kendara pula, Zali dan Rita tidak pernah lokek beri bantuan. Pendek kata, mereka berdua sememangnya dihormati dan disayangi ramai.

Zali dan Rita bukan macam orang lain, yang hidup atau mati tidak beri rasa ada dan tiada. Pada zaman yang semuanya berkisar perihal duit, duit, dan duit ini, Zali dan Rita, mereka berdua adalah ikon, satu tahap yang mana perlu dicemburui dengan cerdik oleh bumiputera. Pernah dapat tawaran gelaran Dato' dan Datin dari negeri Melaka, tapi mereka tolak dengan baik. Katanya, dengar-dengar cerita kena bayar dalam RM 90,000.00. Kata-nya-lah.

Peristiwa ini sememangnya mimpi ngeri. Peristiwa ini, jika tidak ditangani dengan terurus, akan mencemar keharmonian Kampung Batu Kasap. Nama baik kampung pasti akan tergugat teruk. Pasti, ini satu konspirasi. Pasti, ini gara-gara dengki, khianat, dan irihati. Pasti, pasti, pasti!

Angin tiada, ribut tiada, tiba-tiba terbakar hangus, pasti ada dalangnya!

Seseorang mesti bertanggung-jawab! Atau er, dipertanggungjawab!

Atau, mungkin saja hanya kerana gagal memahami, mereka terlalu takut untuk mengakui kejahilan sendiri, dan memaksa penafian merampas kewarasan dalam berkeputusan.

**

Perkarangan rumah Ketua Kampung mulai riuh dengan bicara-bicara yang bertindih. Kepetahan Tok Ketua yang selalu menakjub ketika mengulas dan memutar sesuatu isu, tidak lagi menjadi sesuatu yang mempesona. Tiba-tiba, secara serentak, ramai menjadi doktor dan saintis, memberi pelbagai preskripsi, diagnosis, dan hipotesis. Suara-suara sumbang, sinis dan kritis beredar laju, dan halaman sosial dalam alam maya penuh dengan kemaskini status yang bukan-bukan, ada yang seksis, ada yang negatif, ada yang puitis, dan banyak sekali yang tidak membantu.

Ada juga yang curi-curi tonton jenaka Ustaz Azhar Idrus di YouTube.

Ketua Kampung tidak pupus idea. Dia tak ralat. Kali ini, dia tersenyum sendiri memikirkan percaturan yang bakal dia ambil. Dia pernah tanggung azab ujian yang lebih dahsyat daripada perihal remeh-temeh seperti ini. Pengalaman semasa dikerah menjalani latihan askar wataniah segera mengimbau di dalam matanya. Itu belum dikira lagi semasa dia menjadi tawanan komunis -- disoalsiasat dan diseksa selama 2 minggu hanya semata-mata terima jawatan ketua kampung dari kerajaan dan ada radio.

Tapi itu semua tidak sedahsyat pengalaman ketika ditahan 398 hari di Kem Kemunting. Tapi itu cerita lain.

Ketua Kampung membulat tekad. Hal ini mesti diselesai segera. Dia mahu mempertahan reputasi. Dia tidak mahu kelam-kabut ini berlanjutan sehingga menetaskan perpecahan hati dan reformasi. Dia mahu hayat-hayat akhirnya berakhir dengan aman. Penjenayah ini mesti diadili. Kacau-bilau ini mesti diatasi sebelum merebak menjadi barah. Tetapi, sebelum itu, sebelum hari melabuh tirai, sebelum surut gelora air pasang, si durjana ini mesti dikenalpasti!

Secepat mungkin!

"Bawa Zali dan Rita ke sini!!" tempik Ketua Kampung, lantang, jelas, dan tegas. Dia meludah air liur ke tanah dan menggesek-gesek dua-dua belah tapak tangannya. Matanya menjegil.

Semua orang seolah-olah bersepakat berpandangan sesama sendiri. Ada tanda soal besar keluar dari hembusan nafas mereka.

Dalam hati, mereka berdoa ia bukan seperti kes selfie seorang pak menteri bersama seperiuk nasi goreng bersama hirisan-hirisan timun.

Ah! Kali ini mesti menjadi!