Ia sesuatu yang menggelikan hati dan kadangkala menjelekkan, bilamana seseorang cuba menyerang pendirian dan pemahaman kamu, dengan cara yang tidak cekap dan cermat.

Menggunakan kata-kata bijaksana orang lain dan menampal atau mengongsinya di dalam aplikasi-aplikasi sosial, tidak semestinya mencerminkan pemikiran, orientasi, mahupun intelektualiti kamu. Selain memenuhkan storan simpanan memori telefon bimbit dan menghakis jangka hayat bateri, tiada apa suntikan kewarasan yang dapat dikekalkan mahupun diekstrak ke dalam diri.

Di dalam musim setiap orang terdorong untuk menjadi orang pertama tahu itu ini, atau musim-setiap-orang-terinspirasi-mahu-jadi-inspirasi-kepada-setiap-orang, aku cuma mampu geleng kepala. Kebanyakannya, hanya jari yang pantas berbicara dan berkata-kata, selebihnya sebagai cubaan menduga reaksi orang lain, dan jika ada yang ter-umpan untuk turut serta menyambung kata, maka konversasi seterusnya pasti tidak berpunca -- hanya seloka, lawak jenaka dan gelak ketawa; masing-masing bertungkus-lumus hendak memanjang gurau dan senda.

Dan paling menyenak-kan, ada  yang lanjut sehingga berpagian!

Seperti Momus, semua mahu kekal dalam kelongsong fikir manusia-manusia lain walau dengan sejuta kejalangan!

Jadinya, jangan salahkan aku jika aku memilih keluar dari set perkumpulan-perkumpulan di dalam aplikasi talian bimbit dan media sosial. Ya, ia satu penghormatan untuk diterima-masuk menjadi ahli, tetapi mungkin kerana aku seorang yang gagal memahami, lantas terus saja bersifat mencemburui kefanatikan sebahagian kamu dalam berdiskusi.

Mungkin juga aku yang tidak terkini dalam menilai istilah sebentuk modernisasi kemesraan dan langsung terasa asing di dalam merayakan kaedah tata-bicara sosial terbaharu dunia.

Tidak, aku hanya mahu kita lebih terghairah menjadi cerdik, dan bertanggungjawab dalam menterjemah teknologi ke dalam kehidupan, bukan terhamba merayu mengejar dambaan pengagum!

Oh ya, dan satu lagi, jangan hina kepintaran aku dengan solusi-solusi dangkal dari pelacur-pelacur perhatian di dalam facebook. Hidup kita bukan di-tentu oleh orang yang tercandu untuk memandu.

Dalam aruhan khayal intoksikasi minimal, di parking lot di sebuah rumah kelab kawasan perumahan separa elit di pinggir ibukota, aku kata-kan pada dia: “I’m trying to define what I feel about you now.”

Dia pandang aku, tersenyum, dan menyalakan Marlboro Light duti percuma; sambil menunggu aku untuk menghabis-kan kata-kata.

Aku tarik dalam-dalam puntung nikotin yang tersemat di antara jari telunjuk dan jari tengah dan muntah-kan asapnya ke depan. Air tin minuman genius yang berbaki suku aku sudah-kan dalam satu tegukan.

“Dear--” aku kata, separuh berbisik, “I really can’t get you out of my mind. See, I think about you all the time when I’m sober, and now, I still think about you--.”

Dia masih senyum, diam sejenak, tarik asap nikotin, buat-buat muka disbelief, dan kata, “You are drunk!” dan kembali senyum.

“Suka merepek!” dia sambung lagi sambil mencubit isi lengan aku.

Aku turut senyum. Mata-ku tekun memerhati gerak-geri-nya. Dan momen itu telah buat aku tersedar satu lagi perkara berharga tentang dirinya.

She’s lovelier when she smile.