Hanya mahu membayar untuk perkhidmatan yang aku gunakan, aku berkeras dengan pendirian aku di pondok tol. Lewat malam, sangkaan aku meleset bilamana masih banyak kenderaan di belakang menunggu giliran di laluan aku.

''Saya tak cukup duit!'' aku kata dan menghulur plastik hijau bernilai RM5. Papan layar digital menunjukkan aku harus membayar sebanyak RM3.70.

''Encik kena tambahnilai RM10!'' jelas pekerja perempuan di dalam kotak kubikel, endah tak endah. Bertubuh gempal, masih dalam lingkungan 20-an dan barangkali kejemuan kerana terperuk sendirian.

''Maaf. Saya tak cukup duit ni. Ada masalah sikit tadi. Tak sempat nak cucuk!'' aku bohong. Aku cuba pamerkan riak penuh menagih simpati.

''Saya tak boleh buat apa-apa, Encik! Saya pun ada masalah juga!'' balas si perempuan. Entah mengapa dia seperti berbunyi mengejek ketika menyebut perkataan 'masalah'.

Kebiasaannya, apabila perempuan menyebut 'masalah' seperti itu, aku secara pantas memahaminya yang ia berkisar tentang kitaran haid yang terganggu.

Ataupun hari pertama datang bulan.

Ataupun perselisihan remeh bersama teman lelaki yang sengaja didramatikkan.

''Saya ada RM5 sahaja. Saya bayar apa yang saya guna-lah,'' aku merayu sambil menghulur nota RM5.

''Tak boleh! Encik kutiplah syiling-syiling dalam kereta Encik, cukupkan sampai RM10!''

Jawapan spontan dari perempuan kaunter buat aku betul-betul terganggu. Aku jadi diam seribu bahasa. Jika diikut amarah zaman muda, sudah pasti caci maki keluar dari gigi aku.

Ataupun ludah hinggap di muka kerana anjuran yang dangkal.

Tangan aku terjulur keluar dari tingkap dengan jari telunjuk dan ibu jari masih menyepit nota RM5. Perempuan di kaunter memperlekehkan aku dengan pandangan dan air mukanya.

Jumlah kenderaan di belakang aku semakin bertambah. Ada silauan lampu tinggi masuk ke dalam kereta aku.

Aku teruskan diam dan merenung tingkah si perempuan.

''Encik call lah siapa-siapa tolong top up kad Touch N Go Encik.''

Sekali lagi, saranan dari perempuan ini meremuk hati. Waktu menunjukkan pukul 2.06 pagi. Sesiapa yang waras pasti akan bertindak waras. Siapa yang mahu dikejutkan pada waktu-waktu seperti ini?

''Saya hanya ada RM5 dan saya akan tunggu!'' aku membuka mulut, berang, dan sedikit meninggi suara.

Syarikat besar dan mempunyai kuasa monopoli seperti ini mengaut untung jutaan ringgit daripada urusniaga yang belum berjalan. Mereka memaksa rakyat untuk membayar lebih daripada apa yang sepatutnya.

Prabayar untuk kad Touch N Go adalah satu contoh transaksi perniagaan yang benar-benar tidak adil. Mereka mendapat untung yang berlipat kali ganda daripada kebiasaan dan lebih menyakitkan hati, keuntungan itu diperoleh dengan cara yang paksa dan seleweng.

Kita semua hanya perlu membayar untuk apa yang kita beli, guna dan pakai, bukan? Untuk kes seperti Touch N Go ini, mereka telah tetapkan jumlah minimum untuk tambah nilai dan mewajibkan semua jenis kenderaan untuk memiliki.

Ini, pada aku, adalah satu penindasan yang sistematik.

Biar aku sorongkan perkiraan mudah.

Jika ada 500,000 kenderaan yang menggunakan kad ini, dengan mudahnya mereka mendapat RM5juta dengan isian minimum RM10, dan ini semua diperoleh dengan perkhidmatan dan servis yang belum lagi diberikan dan dilaksanakan. Perniagaan apa yang lebih menguntungkan seperti ini?

Aku bagi satu contoh kelemahan yang menambah kebencian aku lagi.

Perjalanan aku memakan kos sebanyak RM3.70 satu hala.

RM3.70 x 2 = RM7.40 sehari = RM192.40 sebulan/26 hari.

Jadi di bawah sistem kad ini aku terpaksa menambahnilai genap RM200 setiap bulan dan bakinya adalah RM7.60.

Perhatikan bagaimana mereka berjaya mengaut lebih dari yang sepatutnya daripada seorang pengguna dalam tempoh sebulan!

Mungkin ada beranggapan nilai ia kecil dari poket seorang individu tetapi jika ada sebanyak 500,000 kenderaan memiliki baki yang sama, bayangkan keuntungan tambahan yang dijana melalui sistem ini!

RM3.8 juta dengan percuma!

''Jadi macam mana? Saya tak ada duit ni!'' aku jerit setelah huluran aku tak bersambut. Aku tak pasti apa cacian dari kenderaan-kenderaan di belakang terhadap aku kerana aku tidak bergerak-gerak.

Mencebik, si perempuan kaunter masih juga tidak berganjak. Masa terus berlalu dan aku mengintai cemas jumlah kenderaan di cermin pandang belakang yang semakin memanjang.

''Encik cuba-lah call kawan Encik!''

Aku bukan seorang yang radikal. Entah mengapa, sejak kes-kes politik di tanah tumpah darah aku ini menjadi semakin berkecamuk, aku menjadi semakin idealis dan pendendam. Mata aku menjadi tajam dalam melihat segala muslihat dan helah pemerintah. Telinga aku tangkas menangkap setiap khabar berita yang meluru.

Setiap pengumuman baru dari pemerintah membuat aku skeptikal dan mendorong aku menyelidik serta cuba menyelongkar rencana yang sebenar di sebaliknya.

Yang paling membuatkan aku berontak sebenarnya adalah bilamana janji-janji tidak dikota, penghinaan serta kata-kata nesta menteri-menteri terhadap pemimpin-pemimpin lama, dan juga pembohongan demi pembohongan untuk mengharum skandal yang membusuk.

Itu belum dicampur dengan kenyataan-kenyataan tolol yang keluar dari mulut mereka yang berstatus menteri, yang sering bercanggahan antara satu sama lain.

''Kalau saya ada duit, saya dah isi, kak. Sekarang ni, saya punya tol RM3.70. Kenapa saya nak kena bayar RM10?''

''Balance RM6.30 tu banyak kak untuk saya!''

''Boleh beli minyak masak. Boleh isi minyak kereta!''

Harga barang-barang keperluan semakin melambung dan meroket. Siapa pernah terfikir, pengeluar sawit kedua terbesar dunia menjual minyaknya dengan harga yang lebih kurang sama dengan negara bukan pengeluar?

Alangkah baik, bagus dan indah jika hasil-hasil bumi negara dapat dinikmati dan dimanfaati oleh rakyat dengan nilai yang jauh lebih murah, mudah dan istimewa kerana ia milik negara, bukan milik pemerintah yang bersarung kulit kapitalis. Bukankah pemerintah sepatutnya merai rakyat terlebih dahulu?

Menetap kos harga barang api juga menjadi huru-hara. Sekejap sistem subsidi, sekejap apungan dan sekarang sedang merangka mekanisme baru. Sekejap mahu menjaga rakyat, sekejap mahu menjaga pengusaha pam yang berjumlah hanya 3,000, dan sebetulnya, siapa yang mahu mereka jaga?

Untuk apa aku memilih pemerintah jika mereka tidak berupaya menjaga dan merayakan kebajikan rakyat terbanyak? Adakah kemudahan-kemudahan yang diberi hanya dapat dinikmati oleh golongan tertentu?

Orang miskin macam aku bukan rakyat kah?

''Bukalah palang ni, saya berhenti tepi,'' aku cadang setelah negosiasi seakan-akan tidak berkonklusi. Bunyi hon yang bertalu-talu melemahkan semangat juang aku.

''Tak ada duit kenapa masuk tol?!''

Negara ini seakan tidak memerlukan golongan yang mempunyai fikiran yang bertentangan. Perbezaan dan pertelingkahan pendapat bukan sesuatu yang disanjungi sebaliknya ditelagahi, sedangkan pertembungan dan konflik pemikiran-lah yang melahirkan idea baru dan mencambah solusi serta penambahbaikan dalam sesuatu isu, dari sekecil-kecil sistem sehinggalah kepada tatacara menanggap kehidupan.

Dari penjaga tol sampai ke pemimpin atasan, jawapan yang aku peroleh adalah cerminan tentang bagaimana cara mereka berfikir dan bereaksi. Semuanya tentang duit, wang, pitis. Semua tentang mahu jadi kaya. Semua tentang mahu jadi terkenal.

Semua tentang mahu jadi immortal.

Kemanusiaan luntur diinjak-injak.

Masih mahu salahkan Najib-kah sedang kamu masih terbahak-bahak dengan Maharaja Lawak? Masih bertanya kenapa tiada siapa-kah yang berani mahu menurunkan takhta
Najib dengan kamu sendiri terjebak punyai komitmen rumah 30 tahun, ansuran bulanan kereta 9 tahun, dan insurans itu ini seumur hidup?

''Takpa-lah, Encik. Saya tolong bayarkan!''

Aku menoleh ke arah suara. Rupa-rupanya ada seorang lagi gadis perempuan di dalam pondok tol.

RM5 aku tidak laku, nombor pendaftaran kenderaan aku dicatit, dan aku berlalu keluar dari lebuhraya dengan satu pengalaman.

Dan dua wajah --- satu menjengkelkan dan satu mengenangkan.

Dan RM5 itu kemudiannya aku tukarkan menjadi asap cengkih.

**

Tercabul dan mengkal dengan saran si tolol, lelah menaakul isi-isi cemar dan konyol, cuba menangkup bijaksana yang tersejat dari suluk yang riuh.
  
Masih-kah dunia menakluk resah dan hiba-ku dalam menyantun salam dari Pencipta?

Atau, masih-kah aku melirik giur pada susuk dosa-dosa kelmarin?

Atau, aku yang bacul, masih lenang dalam keraian, masih mencandui  gurindam nan semalam.

Kenyir, 11 Julai.