Deru enjin yang menderum lima jam tanpa henti, memudik di tengah-tengah hamparan luas dada tasik yang kehijauan, saujana mata, dan menggerunkan, di bawah bahang terik matahari yang seolah-olah sedang ingin melempias kemarahan terpendam, bersama kelompok-kelompok pertemanan yang berlainan akal, pengalaman, serta tatacara menangani kehidupan; terselit aku yang mahu menduga nikmat rasa dan mengintai kebenaran.

Malam di persimpangan Cacing dan Terenggan, mencerap jutaan bintang yang bertebar di langit terang -- antara pertempuran mahu terus kekal bejat dalam huru-hara atau waras dalam celaru -- ada satu bisik, cermat menuntun dengung dalam memberitahu --

"Setiap kita telah tertulis atur, kadar, dan edar-nya. Siapa kita untuk membida secupak hikmah ketentuan-Nya?"

Rebah, bangkit, aku tidak mahu meminjam bicara bijaksana yang membuai dari sang penglipur lara. Aku tak mahu terpedaya dengan magis pesona kata-kata sang hamba.

Aku tak mahu Jibrail membentang sayapnya untuk aku menyingkap tabir rahsia ke syurga.

Cinta, seperti mana juga kebodohan, tak perlu di war-war. Ia, semulajadi bingit dan membingit-kan.

Salah-kah untuk aku jatuh, dan diam untuk alam?

Kenyir, April 11, 2016

No comments:

Post a Comment