Entah atas maksud apa yang mungkin tidak aku fahami, FB hantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp kepada aku.

''Apa erti rindu?''

Tergesa untuk tidak segera menjawab, aku memulang pertanyaan dengan soalan.

''What with the question?''

''Saja.''

Mengenali FB untuk sekian tempoh, adalah mustahil untuk aku tidak bersikap pesimis. Ular menyusur akar, tak akan hilang pekat bisa-nya, kata orang tua.

Kata orang tua-tua lah. Mana aku tahu.

Jadi untuk memati rasa ingin tahu yang mula bergumpal dalam darah, aku balas, ''Maksud rindu bagi aku, ia satu perasaan runtun yang kuat, yang mengikat seseorang kepada seseorang, yang selalu mencarik hati bilamana ingatnya pekat, dan selalu muncul dan di-peringat oleh hampir semua persekitaran.

Rindu bagi aku, satu euphoria yang terhasil daripada tindakbalas emosi, ter-reaksi daripada memori dan jalan-jalan hidup.''

''Nak pikat siapa ni?'' aku tanya, mengacah agar FB segera menyahut persoalan yang semakin kuat meracau mengganggu aku.

Status 'typing...' pada gambar profilnya terasa seperti setahun.

''Terima kasih, Bro. Barangkali aku rindu arwah..''

Terpukul dengan taakulan songsang sendiri, aku terdiam. Ya, aku juga begitu. Rasanya seperti semua apa yang berlaku, hanya baru semalam berlalu.

Aku tak mampu untuk balas pesanan. Seperti tiada kombinasi-kombinasi perkataan yang tertepat untuk aku susun dan hantar, untuk aku beritahu yang aku juga melalui keadaan yang sama.

**

1 comment:

  1. Ouch. Moga-moga arwah tenang di sana.

    ReplyDelete