Di antara kesesakan trafik dan panik pengejar upah di Ibukota, di antara Jalan Tun Razak dan Bulatan Pahang yang sering penuh dengan jeritan harapan dan kemahuan, di antara Aqsa yang di-perjuang dan nyawa yang di-pertaruh-kan; ada aku yang cuba menghidup sebentuk pelangi

Awan senja -- dengan warna merah keemasan mengepung matahari yang meredup, di-lintas oleh ratusan merpati liar yang riuh, yang barangkali mahu mencari jalan pintas untuk pulang ke sarang inap -- seakan tidak mahu menghitam tanpa ada seruling yang bertiup.

Bunyi bandar tidak memberi damai. Bauan bandar hanya berbening bakar. Jiwa-jiwa lesu bertebaran lari, bertaburan ke sana-sini membawa riak rindu dan dendam -- menggendong beban khuatir, dan sesal, dan bimbang, dan gusar.

Angin tidak bernafas, hembusannya longlai dan pinar, semacam daya tiupan-nya terpukau lena, di-belai oleh tangan-tangan rakus berlumur dosa.

Aku menjalin air dalam udara.

Nun 1000 batu ke Timur Tengah, di sebalik kegopohan dan kegelojohan, di sebalik kejar-kejar dan tipu-daya, di sebalik kegerunan dan keimanan, sekujur jasad melepas lelah. Mata-nya terpejam, tubuhnya tersandar, tangan-nya erat menggenggam doa dan rintih. Fikir-nya terpimpin melangkah waktu.

Cita-cita, cinta, dan cerita -- semua melonggar dalam kalut kilauan pijar material dan hujan peluru.

Ada takdir tentang kemanisan yang telah tertulis. Ada takdir tentang kemanusiaan yang sedang di-tulis.

Ada takdir tentang kehidupan yang tidak pernah berhenti menangis.

Dan di sudut lain itu, ada aku, yang masih degil berlegar menanti terjadi sebentuk pelangi.

No comments:

Post a Comment