Dan, bilamana kata-kata aku tidak lagi menyuntik pesona, bilamana haba dari tubuh aku tidak lagi menggetar wujud, bilamana kedengaran nama-ku tidak lagi menjentik sendu di ruas-ruas jantung, aku tahu, aku cuma sebentuk rasa yang telah pupus.

Dan, bilamana semua telah hancur berkecai, bilamana Cinta Yang Tinggi telah lunyai terbinasa, bilamana tiada lagi Dusta Yang Suci untuk membenar nesta, aku tahu, aku kau mengitar dan mengulang janji yang serupa.

Ia satu perjalanan. Ia satu jalan di antara jalan-jalan yang suram. Suatu masa, semua ini akan terpapar, semua ini akan terpancar, dan akhirnya semua ini akan menyedar, betapa aku, kau, serta apa-apa yang ada di antara kita, apa-apa yang mengorbit keberadaan dan sesah nafas kita, di sebalik segala kegagahan, kawalan, dan kesombongan yang terpamer, di sebalik kepura-puraan rasa dan topeng-topeng agama, hanya-lah jasad-jasad yang rapuh terhadap, heh, memori dan dosa.

50 batu ke barat daya, ada roh yang sedang derita. Dia dipapah, bertahan untuk terus bernyawa. 50 batu ke utara, ada roh yang sedang dirai. Dia bertepuk, menjerit dengan penuh takjub gembira.

50 batu dari kau, ada aku, berusaha mencantum serpihan-serpihan yang pernah membentuk, Hati.

Dia tidak merintih, dia tidak menagih. Dia hanya mahu terus bertenaga.

Dia mahu terus menjadi rujuk kepada nikmat kelmarin (yang seakan tidak pernah susut dan hapus).

No comments:

Post a Comment