Terdetik untuk menulis kerana terpesona dengan betapa jelak hujah Keruak (bukan Jack Kerouac) yang begitu komited mempertahan. Barangkali, dia terlupa, betapa seekor anjing jika diperhias dengan emas permata bernilai 2.6 bilion, tetap juga berkejaran ke tempat sampah.

Ini tulisan berharum politik dari seorang yang tidak punyai cita-cita menakluk dunia.

Pada aku, aku memandang ia sebagai satu cerita berkenaan dengan sebuah keazaman dan kebenaran, bukan menjaga tenggorokan.

Seseorang yang berusia hampir satu abad -- kurang lebih satu dekad untuk seratus tahun -- mengemudi sebuah negara dunia ketiga sehingga mencapai pertumbuhan yang dramatik selama 22 tahun -- untuk menuduh beliau bercita-cita merampas takhta dan kembali memegang daulat, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Sememangnya ia tidak masuk akal, walau aku sedaya-upaya mengiyakan kata-kata daripada hulubalang-hulubalang pemerintah dan pembenci.

Dan, bagi aku, untuk seseorang yang telah memiliki hampir segala-gala -- zuriat yang berjaya, harta yang tidak mungkin kehabisan, pasangan yang setia, kesihatan yang baik, fikiran yang masih cerdas -- ia sesuatu yang lazimnya akan kelihatan seperti sebentuk kedunguan yang maha besar untuk mempercayai bahawa ini semua adalah beragenda peribadi.

Bagi manusia bernama Mahathir Mohamad, ada perjuangan yang harus diteruskan. Di sebalik segala kemewahan dan kesenangan, beliau tidak terlumpuh untuk terus bersuara memuntahkan pandangan, buah fikiran, gagasan, idea, kritikan, teguran mahupun serangan. Beliau tidak sesekali terbuai hanyut leka dalam kenikmatan.

Beliau, adalah prinsip. Beliau peduli. Boleh jadi, terlampau peduli. Alif tetap dinyatakan Alif. Satu tetap dilaung satu. Jika yang hak itu pahit dan pedih, maka itulah yang harus ditelan dan diharung.

Bukan memukul di sekitaran semak, saling menyalak dan berdolak.

Segelintir kamu akan mentertawakan pernyataan aku. Pada kamu, "Ah, seorang lagi penyimpati si tua nyanyuk!"

Yah, mungkin benar, dan aku tidak berasa berdosa untuk mengakuinya. Bahkan, mungkin aku lebih berasa ternama!

Jika kita menelaah dan menelusuri sejarah, kita akan temui satu corak. Ia secara tidak langsung memudahkan kita meramal atau memprediksi apa yang bakal berlaku.

Sejarah memberitahu kita pengasas UMNO, Onn Jaafar menongkah arus meninggalkan parti yang didirikannya. Seperti satu kutukan dari takdir, setiap presiden UMNO secara peratusnya berakhir di luar parti.

Begitu juga dengan dua mantan perdana menteri, Tunku Abdurrahman dan Tun Hussein Onn.

Puncanya? Mahathir Mohamad -- lelaki yang sentiasa punyai misi dan visi yang bertentangan dengan ketajaman fikiran semua aristokrat yang memegang tampuk kekuasaan.

Sejarah, ia berulang. Kini Mahathir kelihatan sedang memijak di atas jalan yang sama -- kali ini, juga tidak menyetujui cara pimpinan dari golongan aristokrat. Mengikut-kan logikal akal, berdasar umur, masa untuk beliau untuk memeluk UMNO kembali sudah benar-benar mustahil.

Dan sekarang, warga emas ini sedang memimpin satu koalisi yang menghimpun (baca: tanpa sogokan!) hampir seluruh bekas penghina dan pencacinya! Nah, betapa dahsyat pengorbanan beliau lantaran memastikan negara di dalam aturan?!

Apa yang lelaki ini hasratkan? Mengapa semua harus dipacu dan disepakati mengikut kelulusan beliau? Di mana pejuang-pejuang agama, bangsa, dan negara yang lantang mahu membela? Mengapa tandus akal dan lesu tindakan? Adakah kerana bimbang kehilangan sumber kewangan untuk menjelas ansuran-ansuran bulanan?

Pada aku, aku memandang ia sebagai satu cerita berkenaan dengan sebuah keazaman dan kebenaran, bukan menjaga tenggorokan.

Yah, bagaimana kebenaran itu ditafsir? Apakah kebenaran itu terlalu sulit sehingga negara menjadi cagaran?

Dan bilamana berbicara perihal keazaman, hanya pahlawan sejati sahaja yang akan terus berjuang sehingga titisan darah terakhir. Pastinya, bukan seperti pahlawan Bugis yang berdegar-degar mengangkuh diri, sedang diri bergelumang tahi.

Bukan pahlawan-pahlawan yang merajakan wang tunai di dalam merayu ketaatan dan kesetiaan.

Bukan juga pahlawan-pahlawan yang menggadai jiwa demi kelenangan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sebalik segala nesta dan cerca yang mereka cuba tanamsuburkan, aku tahu, di dalam darah mu tertanam cinta yang agung terhadap tanahair!

Yah, aku tahu, kerana aku juga cintakan Malaysia!

#CintaMalaysiaBukanNajib

No comments:

Post a Comment