Menemani teman lama -- kini bergelar penolong pengurus ladang di negeri di bawah bayu -- bertukar-tukar pengalaman dan bersiar-siar di celahan hiruk-pikuk Kota Durjana, membangkit-kan, mengejut-kan, dan menyedar-kan aku tentang sesuatu yang tertinggal.

I am not even making a single effort to hook up with a girl.

Dengan hampir kesemua kelompok sosial kini telah sibuk menukar lampin dan bangga mempamer komitmen ke sana sini, teman lama, MS, tidak mahu terkebelakang dalam perlumbaan. Ditanya bila-kah masa dia akan datang, dia menjawab, dalam telo Kelantan yang pekat, “Tok lamo doh! Tok lamo doh. Démo?”

Sarkastik seperti selalu, aku usik dia, “Gillo! Naté apo nikoh! Bayar mahal-mahal gelli dengé soré jah!”

MS, berbadan besar, berat tubuhnya menjangkau 100kg atau mungkin lebih, optimis dengan caturannya. Turutnya, kehidupan yang sedang dia lalui ketika ini walaupun miliki kemewahan, seperti tidak cukup lengkap, dan egonya memanggil-manggil untuk punyai permaisuri di sisi -- yang diandaikan-nya mampu mengisi ruang kosong -- berkongsi dan mengimbangi rasa pada saat-saat bahagia dan huru-hara.

“Masaaloh-nyo, buké takdok oghé nok, tapi gak, ho, rama pulok hok dok kenné (kenan) dengé pilihé aku!” kata MS semasa menunggu hidangan makan malam. Oleh kerana suasana agak hingar, aku berusaha tangkap setiap butir cakapnya dengan berhati-hati.

“Sebab?” aku tanya, cuba-cuba memahami apa yang menahan kemahuannya. Atas sebab-sebab tertentu, aku selalu menjadi medan luahan bila jiwa ralat dengan emosi.

“Oghé-oghé tuo lah. Saing-saing lagi. Macé-macé hok dok keno-nyo!” luah MS sambil menghambur asap nikotin ke langit. Pandangan MS seperti mengandung seribu kesal.

“Apa yang tak kena-nya?” aku tanya MS lagi. Kali ini, aku pula yang membalas hamburan asap ke langit.

“Dio oghé Saboh. Mung tahu la, mentaliti oghé sano, dok serupo oghé semenanjung—” jawab MS, berhenti sejenak untuk menyedut nikotin, dan sambung, “Budayo lagi. Jadi-nyo, mendo-mendo gini la jadi buak masaaloh-nyo!”

“Problemo, problemo!” rungut MS lagi. Mata-nya meninjau reaksi aku. Di seberang meja, ada orang buta menjaja tisu simpati, dikemudi oleh entah siapa, yang mahu turut sama menumpang rezeki.

Tidak mahu dituduh banyak tanya, walau aku masih kurang pasti apa yang merumit-kan tentang menjadi Sabahan, aku mendengus panjang. MS menunggu cadangan aku dengan puntung nikotin tergantung dibibir.

“Aku rasa mu tak payah kisah pasal apa orang lain kata lah,” aku mula membuka mulut setelah perasan ada sunyi menyelinap antara kami.

“Apa yang orang-orang kata tu, sebab untuk memenuhi ciri-ciri orang-orang tu, bukan sebab perempuan tu tak memenuhi ciri-ciri mu.”

“Aku rasa, orang-orang tu tak kenal pun perempuan tu macam mu kenal, tapi buat andaian-andaian yang buat mu fikir bukan-bukan. Tak kan mu nak give up sebab perempuan tu tak memenuhi kriteria orang-orang lain?”

“Contoh, macam baju mu paling suka pakai, aku mungkin kata tak sesuai, tak lawa, sebab citarasa aku lain. Tapi mu kata cantik, kemas, sebab kena dengan taste mu. Tak kan mu nak buang baju ni and pakai baju aku suka semata-mata nak puas-kan hati aku?”

“Mu hok nok nikoh, buké oghé laing!”

MS diam sejenak. Aku pula, meneguk minuman, dan berharap yang aku meneka perkara yang betul, dan difaham dengan betul.

“Tapi oghé-oghé ni betul jugok. Aku buleh napok, aku buleh napok—” balas MS dengan sayu sambil mengangguk-angguk. Apa yang disaksi dengan jelas oleh MS di dalam minda-nya aku kurang pasti, yang nyata-nya, aku tahu ia sesuatu yang berkuasa dan berkesan -- memuktamadkan keputusannya.

“Mu laing, mu mémé laing—” kata MS lagi, menembak terus perasaan ingin tahu aku.

Selesai menikmati makanan dengan lahap, aku bawa MS meronda-ronda dengan kereta buruk aku. Dalam perjalanan, MS tiba-tiba mencuit peha aku sambil tersengih-sengih.

“Cari aku cikgu, aku beri komisyen seribu!”

Sebelum menghantar pulang, aku menemani MS untuk satu sesi khas minuman genius berserta B2B, er, bukan, maksud aku urutan refleksologi, heh, dengan harap, dia dapat meringan-kan dan melonggar-kan sedikit urat-urat kusut, tegang, dan kejung, yang lama berlingkar mencengkam kewarasan-nya.

Yang sebenar, ada sedikit niat nakal tersirat -- MS pulang ke Sabah minggu ini dengan senyum simpul yang tak terlekang dari bibir, atau sekurang-kurangnya, sempat teringat-kan aku, ketika mana dia menggeleng-gelengkan kepalanya mengenang, “Kuala Lumpur, Kuala Lumpur...”

No comments:

Post a Comment